Archive for March, 2014

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

image

Wahb bin Munabbih menceritakan, seorang raja sombong dihampiri malaikat maut. Pada suatu hari, raja itu memakai pakaian cantik dan mahal, lalu menunggang kuda. Raja itu enggan bersalaman dengan rakyat yang mahu berjabat tangan dengannya.

Bagaimanapun, seorang lelaki tua berjaya menghampiri raja itu sambil memberi salam dan menarik tali kuda berkenaan. Raja memarahi lelaki tua itu tetapi lelaki tua tetap berkeras untuk mendekatinya.
Lelaki tua itu berbisik kepada raja bahawa dia adalah malaikat maut. Dengan segera wajah raja itu menjadi pucat lesi dan lidahnya kelu.
Raja itu meminta kebenaran untuk pulang ke istana untuk bertemu anggota keluarga tetapi malaikat maut tidak membenarkannya dan berkata; “Tidak boleh. Demi Allah, engkautidak akan melihat keluargamu dan hartamu lagi!”

Malaikat maut mencabut roh raja dan menyebabkan jasad raja itu tersungkur seperti kayu tumbang. Kemudian, malaikat maut menemui seorang lelaki beriman dan baik amalannya, lalu mengucapkan salam.

Aku ada satu keperluan denganmu yang hendak aku bisikkan di telingamu. Akulah malaikat maut,” kata Malaikat Izrail.

Selamat datang wahai yang telah lama aku tunggu. Demi Allah tiadalah di bumi ini yang belum hadir yang lebih aku cintai untuk berjumpa melebihimu. Aku tidak punya keperluan yang lebih besar dan hendak dipenuhi dibandingkan dengan bertemu Allah,” jawab lelaki beriman itu.

Malaikat maut memberi pilihan kepada lelaki itu dalam keadaan apakah dia mahu nyawanya dicabut. Lalu lelaki itu meminta Malaikat Izrail mencabut nyawanya dalam keadaan beliau bersujud.

Malaikat Izrail mendatangi orang yang akan dicabut nyawanya dalam keadaan berbeza-beza, bergantung kepada iman dan amalan orang itu.

Wallahua’lam.

*BH-Ensiklopedia Kiamat.

Bismillahirrahmanirrahim.

image

Mengumpat dibenarkan apabila bertujuan baik dalam pandangan agama dan terpaksa dilakukan. Ada enam situasi:

1. Mengumpat orang yang zalim. Orang yang dianiaya boleh mengadu kepada pemerintah, hakim atau pihak berkuasa yang mampu mengubah perbuatan zalim pelakunya.

2. Mengumpat bagi meminta bantuan supaya mengubah perbuatan jahat seseorang supaya dia kembali ke pangkal jalan. Tujuan mengumpat untuk menghentikan perbuatan dosa, jika niatnya bukan begitu, hukum mengumpat adalah haram.

3. Mengumpat kerana ingin meminta fatwa iaitu bertanya mengenai hukum agama. Bagaimanapun, lebih baik tidak disebut nama pihak yang diumpat. Beritahu secara umum perbuatan tidak baik yang dilakukannya.

4. Mengumpat bagi mengingatkan dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap kejahatan seseorang. Contoh, beritahu seseorang mengenai bakal pasangan hidup atau rakan perniagaan bagi mengelak berlaku perkara tidak baik.

5. Mengumpat orang yang terang-terangan melakukan kejahatan seperti peminum arak, lintah darat atau yang mengeluarkan arahan untuk melakukan kejahatan.

6. Memperkenalkan seseorang yang dikenali dengan nama tertentu seperti Si Tempang atau Si Rabun. Namun sebaiknya diperkenalkan dengan nama yang lebih baik.
Aisyah berkata, “Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Abu Sufyan lelaki yang kedekut. Dia tidak beri belanja yang cukup kepada sayan dan anak kecuali saya ambil tanpa pengetahuannya. Nabi Muhammad SAW bersabda: Puan ambillah sekadar keperluan puan dan anak dengan cara yang baik.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

*artikel berita harian bersumberkan buku Riyadus Solihin Taman Orang Soleh.